Perbahasan dasar Politik perubahan iklim

Perbahasan dasar politik mengenai perubahan iklim adalah mengenai tindakan yang perlu atau boleh diambil untuk menangani isu tersebut. [1] Politik perubahan iklim bertunjangkan pelbagai hujah berbeza termasuk penilaian tentang dekatnya ancaman serta kebolehlaksanaan, kebaikan dan keburukan pelbagai jenis tindakan iklim. Secara amnya, perbezaan pendapat dalam perbahasan dasar perubahan iklim berkaitan dengan tindak balas mampu diambil. [1]

Kenyataan yang membentuk hujah politik boleh dibahagikan kepada dua jenis: pernyataan positif dan normatif. Pernyataan positif boleh dijelaskan atau disangkal dengan menggunakan istilah yang didefinisikan secara teliti mahupun dengan mengemukakan bukti saintifik. Sebaliknya, kenyataan normatif menjelaskan apa yang "sepatutnya" dilakukan sering dikaitkan dengan soal pertimbangan dan hujah moraliti. Kemajuan terhadap persefahaman menjadi lebih mudah sekiranya hujah positif dan normatif hujah dapat dipisahkan demi mencapai persetujuan terhadap pernyataan positif terlebih dahulu. Pada peringkat awal perbahasan, pandangan normatif pendebat terpengaruh oleh persepsi mereka terhadap kepentingan golongan yang mereka wakili. Dalam mencapai kemajuan yang luar biasa pada persidangan Paris 2015, para diplomat termasuk Christiana Figueres menyatakan bahawa pelakon utama dalam konteks antarabangsa dapat melangkaui permikiran yang berlandaskan kepentingan yang saling bersaing kepada kenyataan normatif yang mencerminkan kepentingan bersama yang berlandaskan kerjasama sejagat. [2] [note 1]

Tindakan iklim boleh dibahagikan kepada tiga kelas, iaitu: mitigasi – tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan untuk meningkatkan penyerap karbon, penyesuaian – tindakan untuk mempertahankan daripada hasil negatif pemanasan global, dan pengurusan sinar matahari melalui kejuruteraan iklim – teknologi di mana cahaya matahari (kesinaran suria) dipantulkan kembali ke angkasa lepas. [3]

Kebanyakan perselisihan pendapat di peringkat antarabangsa dalam abad ke-20 mengenai perubahan iklim tertumpu hampir sepenuhnya pada kaedah mitigasi sehingga lahirnya pendapat bahawa memberi perhatian kepada penyesuaian boleh disamakan dengan mengaku kalah. Selain itu, penyesuaian merupakan sesuatu yang dilaksanakan amnya di peringkat tempatan kerana ancaman dan peluang yang dihadapi berbeza mengikut kedudukan dan status pembangunan manakala manakala mitigasi adalah suatu perjuangan bersama tanpa mengira kedudukan mahupun kekayaan negara.

Menjelang awal abad ke-21, walau mitigasi dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menangani perubahan iklim, ia tidak lagi dijadikan satu-satunya tumpuan kerjasama antarabangsa. Penyesuaian kini dilihat secara meluas dianggap sebagai penting dan perlu, maka dibincangkan di peringkat antarabangsa pada tahap tinggi, walaupun kebanyakan tindakan khusus perlu diambil secara tempatan. Komitmen untuk menyediakan bantuan kewangan bernilai AS$100 billion setahun kepada negara membangun telah dibuat pada Sidang Kemuncak Copenhagen 2009. Antara perkara yang telah dijelaskan di Persidangan Paris ialah bahawa peruntukan pembiayaan iklim harus melibatkan pemisahan seimbang antara penyesuaian dan mitigasi. Namun begitu, tidak semua pembiayaan telah disediakan menjelang Disember 2020, dan peruntukan tersedia telah diperuntukkan kepada projek mitigasi. [4] [5] Menjelang 2019, kemungkinan untuk kejuruteraan bumi juga semakin menjadi tema perbincangan dan dijangka akan lebih diutamakan pada masa akan datang. [3] [6]

Perbincangan mengenai dasar mitigasi yang berkesan mengambil bentuk yang berbeza berdasarkan skala tadbir urus yang dipertimbangan. Sebagai contoh, pertimbangan berbeza menjadi topik perbincangan pada peringkat antarabangsa, peringkat kebangsaan dan peringkat daerah. Keyakinan bahawa masalah itu dapat ditangani dengan berjaya wujud pada 1990-an apabila perubahan iklim mula mengambil tempat utama dalam agenda politik. Penandatanganan Protokol Montreal 1987 untuk melindungi lapisan ozon telah menunjukkan bahawa tindakan secara kolektif mampu diambil dalam menangani ancaman yang lahir akibat perubahan iklim, ancaman tersebut belum menyebabkan kemudaratan yang ketara kepada manusia pada ketika itu. Namun pada awal 2000-an, pelepasan GHG terus meningkat, tanpa tanda persetujuan untuk menghukum pencemar mahupun untuk memberi ganjaran kepada negara-negara yang melaksanakan dasar mesra iklim. Dengan itu, cabaran mengehadkan pemanasan global menjadi lebih ketara global. [note 2] [3] [7] Sesetengah ahli politik, termasuk Arnold Schwarzenegger dengan slogannya "terminasikan pencemaran", mengatakan bahawa aktivis harus mencipta keyakinan dengan memberi tumpuan kepada manfaat kesihatan bersama sebagai manfaat tindakan iklim. [8]

Pelbagai hala

Rencana utama: Keadilan Iklim
Pelepasan karbon dioksida global mengikut bidang kuasa (sehingga 2015)

Perubahan iklim menjadi agenda politik global tetap pada awal 1990-an, dengan persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan setiap tahun. Acara tahunan ini juga dipanggil Persidangan Para Pihak (COP). Antara mercu COP utama ialah Protokol Kyoto 1997, Sidang Kemuncak Copenhagen 2009 dan persidangan Paris 2015. Kyoto dianggap berpotensi tinggi pada mulanya. Namun, keputusannya kelihatan mengecewakan menjelang awal 2000-an. Copenhagen menyaksikan percubaan besar untuk bergerak melangkaui Kyoto dengan pakej komitmen yang lebih kukuh, tetapi gagal diimplementasikan. Walau Pernjajian Paris dianggap secara meluas sebagai dasar yang berjaya, keberkesanannya untuk mengurangkan pemanasan global pada jangka panjang masih belum ketara. [3]

Menteri alam sekitar dari negara BASIC bertemu untuk membincangkan dasar iklim selepas COP15 .

Pada peringkat antarabangsa, terdapat tiga pendekatan luas untuk pengurangan pelepasan yang negara boleh cuba untuk berunding, iaitu:

  1. Penggunaan sasaran pengurangan pelepasan.
  2. Menetapkan harga karbon.
  3. Mewujudkan proses sukarela untuk menggalakkan pengurangan pelepasan karbon, termasuk perkongsian maklumat demi membolehkan semakan kemajuan secara berpusat.

Pendekatan-pendekatan ini saling melengkapi, walaupun persidangan iklim sering diberikan kepada pendekatan pengurangan pelepasan. Sehingga kira-kira 2010, rundingan antarabangsa tertumpu sebahagian besarnya pada sasaran pelepasan. Kejayaan perjanjian Montreal dalam mengurangkan pelepasan CFC yang merosakkan lapisan ozon mencadangkan bahawa sasaran boleh menjadi berkesan. Namun dalam kes pengurangan gas rumah hijau, sasaran pengurangan tidak berjaya membawa kepada pengurangan besar dalam pelepasan karbon. Sasaran yang bercita-cita tinggi lazimnya tidak tercapai. Usaha untuk mengenakan hukuman berat yang menginsentifkan usaha lebih gigih demi mencapai sasaran pengurangan pelepasan lazimnya disekat oleh kerajaan-kerajaan yang berpengaruh dan bergantung kuat kepada industri intensif karbon. [9]

Pada abad ke-21, persetujuan meluas telah dicapai bahawa penetapan harga karbon adalah cara paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan, sekurang-kurangnya secara teori. [10] Namun, negara-negara enggan menerima pakai harga karbon sama sekali, lebih-lebih lagi menerima harga karbon yang tinggi. Salah satu sebab utama keengganan ini ialah masalah kebocoran karbon – fenomena di mana aktiviti menghasilkan pelepasan GHG dialihkan keluar dari bidang kuasa yang mengenakan harga karbon sekaligus mengurangkan peluang pekerjaan dan kutipan hasil tanpa membawa mana-mana faedah, kerana pelepasan akan dialih keluar ke tempat lain yang tidak mengenakan harga karbon. Namun begitu, peratusan pelepasan dunia yang dikenakan sebahagian daripada pasaran karbon meningkat daripada 5% pada tahun 2005 kepada 15% menjelang 2019, dan dijangka melebihi 40% sebaik sahaja harga karbon China berkuat kuasa sepenuhnya. Kebanyakan rejim harga karbon yang sedia ada telah dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah, negara-negara dan bidang kuasa subnasional yang bertindak secara berautonomi. [11]

Sistem ikrar dan semakan yang secara sukarela di mana negara membuat rancangan untuk pengurangan pelepasan telah diperkenalkan pada tahun 1991, tetapi ditinggalkan sebelum selesainya perjanjian Kyoto 1997 di mana perhatian ditumpukan kepada mendapatkan persetujuan untuk menetapkan sasaran pelepasan dari "atas-ke-bawah". Pendekatan ini telah dihidupkan semula di Copenhagen, dan semakin terkenal dengan Perjanjian Paris 2015, walaupun ikrar kini dipanggil sumbangan yang ditentukan secara nasional (NDC) yang sepatutnya dipertingkatkan setiap 5 tahun. Keberkesanan pendekatan ini masih belum ketara. [12] Sesetengah negara telah menaikkan NDC mereka pada tahun 2021, sekitar persidangan Glasgow . Peraturan perakaunan untuk perdagangan karbon telah dipersetujui pada mesyuarat COP Glasgow 2021. [13]

Serantau, Kebangsaan dan Subnasional

Dasar untuk mengurangkan pelepasan GHG ditetapkan sama ada di peringkat kebangsaan atau subnasional, atau di peringkat serantau dalam kes Kesatuan Eropah. Kebanyakan dasar pengurangan pelepasan yang telah dilaksanakan telah melebihi apa yang telah ditetapkan oleh perjanjian antarabangsa. Sebagai contoh, pengenalan harga karbon oleh beberapa buah negeri di AS, atau pencapaian Costa Rica dalam menjana 99% daripada kuasa elektrik mereka melalui tenaga boleh diperbaharui menjelang 2010-an.

Keputusan untuk mengurangkan pelepasan atau mengguna teknologi bersih tidak dibuat oleh kerajaan, sebaliknya dibuah oleh individu, para peniaga dan organisasi-organisasi lain. Namun begitu, kerajaan negara dan tempatan yang menetapkan dasar untuk menggalakkan aktiviti mesra iklim. Secara umumnya dasar ini boleh dibahagikan kepada empat jenis:

  1. Pelaksanaan mekanisme harga karbon dan insentif kewangan lain;
  2. Peraturan preskriptif, contohnya mewajibkan peratusan tertentu penjanaan elektrik mestilah daripada tenaga boleh diperbaharui;
  3. Perbelanjaan kerajaan secara langsung untuk aktiviti atau penyelidikan mesra iklim;
  4. Pendekatan berasaskan perkongsian maklumat, pendidikan dan menggalakkan tingkah laku mesra iklim sukarela. [3]

Politik iklim tempatan kerap dikaitkan dengan pencemaran udara, contohnya mewujudkan zon pelepasan rendah di bandar yang dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada pengangkutan jalan raya. [14]

Pelakon bukan kerajaan

Individu, perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mempengaruh politik perubahan iklim secara langsung dan tidak langsung. Mekanisme proses tersebut termasuk retorik individu, pernyataan pendapat agregat melalui tinjauan pendapat, dan bantahan besar-besaran. Dari segi sejarah, sebahagian besar protes ini telah menentang dasar mesra iklim. Sejak protes bahan api UK 2000, terdapat berpuluh-puluh bantahan di seluruh dunia terhadap cukai bahan api atau penamatan subsidi bahan api. Sejak 2019 dan kemunculan mogok sekolah dan Pemberontakan Kepupusan, mogok pro-iklim telah menjadi lebih menonjol. Pembiayaan atau mengusahakan teknologi hijau, dan pergerakan pelupusan bahan api fosil termasuk bawah saluran tidak langsung untuk mempengaruhi politik perubahan iklim bagi pelakon berkecuali. [3]

Kepentingan khas dan lobi oleh pelakon bukan negara

Pemanasan global telah menarik perhatian kumpulan sayap kiri, seperti di sini dengan Sosialis Demokratik Amerika .

Terdapat pelbagai kumpulan, organisasi dan syarikat berkepentingan khas yang mempunyai pendapat awam dan kendiri mengenai topik pemanasan global. Pelakon berkepentingan khas yang telah menunjukkan minat dalam politik pemanasan global termasuk:

  • Syarikat bahan api fosil: Syarikat bahan api fosil tradisional akan dirugikan oleh peraturan pemanasan global yang lebih ketat, meskipun terdapatnya beberapa pengecualian. Perusahaan bahan api fosil yang terlibat dalam perdagangan tenaga mungkin bermakna bahawa penyertaan mereka dalam skim perdagangan dan mekanisme sedemikian mampu memberi mereka kelebihan unik, sehingga tidak jelas sama ada setiap syarikat bahan api fosil tradisional akan sentiasa menentang dasar pemanasan global yang lebih ketat. [15] Sebagai contoh, Enron, sebuah syarikat saluran paip gas tradisional dengan meja perdagangan yang besar telah melobi kerajaan Amerika Syarikat untuk mengawal CO2: mereka berpendapat bahawa mereka akan menguasai industri tenaga jika mereka boleh menjadi pusat perdagangan tenaga. [16] [17] [18]
  • Petani dan perniagaan tani adalah lobi yang penting tetapi berbeza dalam pandangan mereka tentang kesan perubahan iklim terhadap pertanian [19] dan pelepasan gas rumah hijau daripada pertanian [20] dan, sebagai contoh, peranan Dasar Pertanian Bersama EU . [21]
  • Institusi Kewangan : Secara amnya, institusi kewangan menyokong dasar menentang pemanasan global, terutamanya pelaksanaan skim perdagangan karbon dan penciptaan mekanisme pasaran karbon. Pasaran baharu ini memerlukan infrastruktur perdagangan, yang boleh disediakan oleh institusi perbankan. Institusi kewangan juga mampu untuk melabur, berdagang dan membangunkan pelbagai instrumen kewangan yang boleh meraih keuntungan melalui kedudukan spekulatif mengenai harga karbon dan penggunaan pembrokeran dan fungsi kewangan lain seperti instrumen insurans dan derivatif. [22]
  • Kumpulan alam sekitar: Kumpulan advokasi alam sekitar umumnya mengutamakan sekatan ketat terhadap pelepasan CO2. Kumpulan alam sekitar, sebagai aktivis, terlibat dalam meningkatkan kesedaran. [23]
  • Syarikat tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga: syarikat dalam kecekapan angin, suria dan tenaga secara amnya menyokong dasar pemanasan global yang lebih ketat. Mereka menjangka bahagian pasaran tenaga mereka akan berkembang apabila bahan api fosil dibuat lebih mahal melalui skim perdagangan atau cukai. [24]
  • Syarikat kuasa nuklear : menyokong dan mendapat manfaat daripada penetapan harga karbon atau subsidi pengeluaran tenaga karbon rendah, kerana kuasa nuklear menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang minimum. [25]
  • Syarikat pengedaran elektrik: mungkin rugi dengan panel solar tetapi mendapat manfaat daripada kenderaan elektrik. [26]
  • Peruncit dan pemasar tradisional: peruncit tradisional, pemasar dan syarikat am bertindak balas dengan menerima pakai dasar yang sesuai dengan pelanggan mereka. Jika "bersikap hijau" memberikan daya tarikan pelanggan, maka mereka mampu menjalankan program sederhana untuk menggembirakan dan menyelaraskan kepentingan mereka dengan pengguna dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, memandangkan perbadanan am tidak membuat keuntungan daripada kedudukan tertentu mereka, kemungkinan peruncit menjadi pelobi kuat sama ada untuk atau menentang pengetatan dasar pemanasan global amat rendah. [27]
  • Pakar perubatan: sering berhujah bahawa perubahan iklim dan pencemaran udara boleh ditangani bersama lalu menyelamatkan berjuta-juta nyawa. [28]
  • Syarikat teknologi maklumat dan komunikasi: dapat menmasarkan produk mereka sebagai membantu dalam memerangi perubahan iklim, cenderung mendapat manfaat daripada pengurangan dalam perjalanan, dan pembelian elektrik hijau. [29]

Pihak berkepentingan yang pelbagai ini kadangkala menyelaraskan penerangan antara satu sama lain untuk mengukuhkan hujah mereka. Contohnya, syarikat elektrik membiayai pembelian bas sekolah elektrik untuk memberi manfaat kepada bidang perubatan dengan mengurangkan beban perkhidmatan kesihatan dan menjual tenaga elektrik pada masa yang sama. Industri juga membiayai pertubuhan bukan untung khusus untuk meningkatkan kesedaran dan melobi untuk kepentingan mereka. [30] [31]

Rujukan

WikiPedia: Politik perubahan iklim http://activistcash.com/organizations/131-greenpea... http://www.businesspundit.com/25-big-companies-tha... http://www.cnn.com/2008/WORLD/asiapcf/07/18/eco.ca... http://www.huffingtonpost.com/2013/01/18/obama-spa... http://www.politico.com/news/stories/0509/22723.ht... http://www.slate.com/blogs/future_tense/2013/04/08... http://www.theguardian.com/environment/2021/aug/25... http://pubman.mpdl.mpg.de/pubman/faces/viewItemFul... http://www.mpifg.de/pu/mpifg_book/mpifg_bd_39.pdf http://stsclimate.soc.ku.dk/papers/grundmannclimat...